Monday, July 19, 2010

Hanya Mendapat Lapar Dan Dahaga


Hadis Nabi SAW

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : “ Seiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta (ertinya berdusta dengan anggota), maka Allah SWT tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (maksudnya berpuasa)”

(HR : BUKHARI)


Dalam riwayat Imam an-Nasai juga daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda : “ Ada banyak orang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga”


Keterangan :


Dalam berpuasa hendaklah kita menjaga adab yang zahir dan juga adab yang batin. Yang dimaksudkan dengan adab yang zahir ialah menjaga puasa itu agar sah menurut pandangan ilmu Feqah, maka kita mesti menahan diri daripada makan, minum dan dari segala yang membatalkan puasa. Dan yang dimaksudkan dengan adab yang batin pula iaitu kita menahan anggota badan dari mengerjakan maksiat. Kita hendaklah menahan mata dari melihat perkara-perkara yang haram oleh syarak seperti melihat aurat perempuan yang bukan mahramnya dan kita hendaklah menahan telinga daripada mendengar bunyi-bunyian atau percakapan yang diharamkan oleh syarak dan juga hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap bohong, mencaci orang, bercakap kasar yang boleh menimbulkan permusuhan dan seumpamanya. Selain dari itu kita dituntut pula untuk menjaga anggota badan yang lain dari membuat dosa, seperti kaki, tangan terutama pula perut mesti dijaga supaya jangan diisi ketika berbuka puasa dengan makanan yang haram. Apalah gunanya berpuasa daripada makanan yang halal kemudian di waktu berbuka puasa, perutnya dipenuhkan dengan makanan yang haram yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.



No comments: